Minggu, 29 Juli 2012

Kandungan Surah Al-Baqarah ayat 30 sampai 39

AYAT 30 HINGGA 33:

2-30: Dan (ingatlah) ketika Rab (Tuhan) engkau berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku (Allah) hendak menjadikan seorang khalifah (wakil) di bumi.” Mereka (malaikat-malaikat) bertanya: “Adakah Engkau (Allah) hendak menjadikan padanya (di bumi) orang yang akan melakukan kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji-Mu (memuji Allah) dan mensucikan-Mu (mensucikan Allah)?” Dia (Allah) berfirman: “Sesungguhnya Aku (Allah) mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
Allah telah menciptakan bumi dan melengkapkannya dengan segala keperluan bagi kehidupan makhluk di bumi. Bumi yang sudah dilengkungi oleh langit-langit sudah sangat teguh, mampu dan sesuai untuk didiami oleh makhluk yang lebih berbakat daripada makhluk yang lain untuk menguruskan kehidupan di bumi itu. Oleh itu Allah berkehendak menciptakan makhluk yang akan menjadi khalifah di bumi untuk diserahkan tugas mentadbir bumi itu. ‘Dan (ingatlah) ketika Rab (Tuhan) engkau berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku (Allah) hendak menjadikan seorang khalifah (wakil) di bumi.’ Allah mengistiharkan kehendak-Nya itu kepada para malaikat. Peristiharan itu menunjukkan segala ciptaan Allah telah lengkap hanya menantikan kedatangan khalifah atau wakil Allah yang akan diberi mandat menguruskan bumi. ‘Mereka (malaikat-malaikat) bertanya: Adakah Engkau (Allah) hendak menjadikan padanya (di bumi) orang yang akan melakukan kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji-Mu (memuji Allah) dan mensucikan-Mu (mensucikan Allah)?’ Allah membekalkan kepada malaikat dengan sebahagian daripada ilmu-Nya. Menurut ilmu yang ada pada para malaikat, makhluk yang akan diciptakan dan menghuni bumi itu akan mempunyai persediaan yang sesuai dengan iklim bumi dan kesan daripada pengaruh dan tarikan yang ada di bumi akan menjadikan makhluk itu melakukan kerosakan di bumi bahkan mereka juga akan berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Menurut ilmu para malaikat, makhluk yang akan diciptakan itu tidak akan sanggup bertasbih dengan memuji dan memuliakan Allah sebagaimana yang dilakukan oleh malaikat. Ketika malaikat berkata demikian tidak ada satu makhluk pun yang derhaka kepada Allah atau melanggar peraturan Allah. Malaikat yang sifatnya sentiasa mengagungkan Allah dan memuliakan-Nya mahu memelihara keharmonian demikian.
‘Dia (Allah) berfirman: Sesungguhnya Aku (Allah) mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya.’ Sekalipun malaikat mengeluarkan pengetahuan mereka yang menunjukkan sebagai bantahan terhadap ciptaan baharu itu namun, Allah tetap dengan kehendak-Nya. Jika kehendak malaikat yang berlaku tentu sekali makhluk bangsa manusia ini tidak akan diciptakan Allah, tetapi Allah tetap melaksanakan kehendak-Nya menciptakan khalifah-Nya, memberi peluang kepada manusia untuk wujud dan hidup. Jika manusia mengenangkan peristiwa ini sahaja pun sudah cukup buat mereka bersyukur kepada Allah dan mentaati-Nya.

2-31: Dan Dia (Allah) telah mengajarkan (memberikan maklumat) kepada Adam nama-nama (pengenalan yang lengkap) sekaliannya; kemudian Dia (Allah) mengemukakan kepada malaikat, lalu Dia (Allah) berfirman: “Terangkan kepada-Ku (kepada Allah) nama-nama itu semuanya, jika kamu golongan yang benar.”
Sunnatu’llah, ketetapan Allah sejak mula, Dia tidak menciptakan sesuatu kemudian membiarkannya begitu sahaja. Allah tidak menciptakan makhluk dan meninggalkannya meraba-raba mencari apa yang perlu mereka lakukan. Bila Allah menciptakan sesuatu Allah meletakkan ketentuan padanya, termasuklah ilmu untuk berfungsi sesuai dengan bentuk kejadiannya. Makhluk yang Allah ciptakan menjadi makhluk yang mengetahui. Matahari, bulan dan bumi mengetahui jalan masing-masing, tidak perlu berguru dengan sesiapa kerana Maha Guru telah memimpin mereka. Sunnatu’llah juga berlaku kepada Adam: ‘Dan Dia (Allah) telah mengajarkan (memberikan maklumat) kepada Adam nama-nama (pengenalan yang lengkap) sekaliannya.’ Allah ajarkan kepada Adam nama-nama semuanya. Apa pentingnya mengetahui nama? Apa guna mengetahui nama satu haiwan itu unta tetapi tidak mengetahui unta itu boleh di makan? Diajarkan nama-nama itu bermaksud diberi pengenalan. Kita diajarkan nama-nama Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Ahad, al-Somad dan lain-lain. Nama-nama itulah yang memperkenalkan kita kepada yang dinamakan. Adam juga mempunyai pengenalan terhadap nama-nama yang diajarkan kepadanya. Adam mengenali dan tahu fungsi serta kegunaan yang dinamakan itu. Di antara nama-nama yang diajarkan kepada Adam itu tentu sekali yang paling utamanya nama-nama Allah yang baik-baik kerana tentu sekali Allah menciptakan Adam untuk mengenali-Nya terlebih dahulu baharu mengenali makhluk yang Dia ciptakan.
Kemudian diuji pengenalan (makrifat) malaikat terhadap Allah dan juga makhluk Allah: ‘Kemudian Dia (Allah) mengemukakan kepada malaikat, lalu Dia (Allah) berfirman: Terangkan kepada-Ku (kepada Allah) nama-nama itu semuanya, jika kamu golongan yang benar.’

2-32: Mereka (malaikat-malaikat) menjawab: “Subhanaka (Maha Suci Engkau/Allah)! Tidak ada pengetahuan kami, kecuali yang Engkau (Allah) ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau (Allah), Engkau (Allah)lah al-’Alim (Yang Maha Mengetahui), al-Hakim (Maha Bijaksana).”
Malaikat bermakrifat menurut kejadiannya, berpengetahuan pada apa yang ada dalam sekop tugasnya tetapi tidak bermakrifat terhadap yang di luarnya. ‘Mereka (malaikat-malaikat) menjawab: Subhanaka (Maha Suci Engkau/Allah)! Tidak ada pengetahuan kami, kecuali yang Engkau (Allah) ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau (Allah), Engkau (Allah)lah al-’Alim (Yang Maha Mengetahui), al-Hakim (Maha Bijaksana).’ Malaikat yang suci mengakui kelemahan mereka, tidak berdolak-dalih. Pengetahuan mereka sekadar yang Allah ajarkan kepada mereka. Pengetahuan mereka mencukupi buat mereka melaksanakan tugas mereka secara tepat. Mereka tidak berpengetahuan tentang apa yang di luar tugas mereka.

2-33: Dia (Allah) berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah kepada mereka nama-nama itu semuanya.” Maka setelah dia (Adam) menerangkan kepada mereka (malaikat-malaikat) nama-nama itu semua, Dia (Allah) berfirman: “Bukankah Aku (Allah) telah katakanlah kepada kamu bahawa sesungguhnya Aku (Allah) lebih mengetahui keghaiban semua langit dan bumi, dan juga Aku (Allah) mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.”
Adam diciptakan sebagai khalifah di bumi. Oleh itu Adam berpengetahuan dan bermakrifat tentang apa-apa yang ada dalam bidang kekhalifahannya kerana Allah telah melengkapkannya untuk tugas tersebut. Allah sekali-kali tidak memberi sesuatu tugas sebagai wakil-Nya kepada mana-mana hamba-Nya tanpa memperlengkapkan hamba-Nya itu. Malaikat yang bertugas mencabut nyawa diberi kekuatan dan pengetahuan tentang urusan tersebut sehingga malaikat itu tidak tersalah mencabut nyawa orang yang sepatutnya belum mati. Para rasul diperlengkapkan dengan kekuatan dan pengetahuan buat menyebarkan risalah sehingga tidak terjadi rasul keliru mentafsirkan wahyu atau mengadakan amalan yang bertentangan dengan kehendak wahyu. ‘Dia (Allah) berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah kepada mereka nama-nama itu semuanya. Maka setelah dia (Adam) menerangkan kepada mereka (malaikat-malaikat) nama-nama itu semua, Dia (Allah) berfirman: Bukankah Aku (Allah) telah katakanlah kepada kamu bahawa sesungguhnya Aku (Allah) lebih mengetahui keghaiban semua langit dan bumi, dan juga Aku (Allah) mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.’ Adam memaparkan ilmu dan makrifat yang ada dengannya. Nyatalah benar Allah telah mempersiapkan Adam secukupnya buat menjalankan tugas sebagai khalifah di bumi. Malaikat mengakuinya. Makhluk yang benar mengakui kebijaksanaan Allah menjalankan peraturan-Nya. Allah menjadikan bumi, bulan, matahari, langit, malaikat, rasul-rasul dan lain-lain dalam sebaik-baik keadaan yang berhubung dengan kejadian masing-masing. Tiap sesuatu itu berfungsi dengan sempurna sebagaimana yang Allah aturkan. Hanya orang yang jahil sahaja tidak dapat melihat ketelitian dan kehalusan Sunnatu’llah.


AYAT 34 HINGGA 39:

2-34: Dan (ingatlah) tatkala Kami (Allah) berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kepada Adam.” Lalu sujudlah mereka kecuali iblis; ia (iblis) enggan dan takbur (menyombongkan diri), maka jadilah ia (iblis) daripada golongan yang kafir.
Daripada ayat 30 Allah menujukan firman-Nya kepada malaikat-malaikat berhubung dengan penciptaan Adam dan kedudukan Adam sebagai khalifah. Allah kumpulkan sekalian malaikat-malaikat. Ada dua kumpulan malaikat: Pertama malaikat pada bumi yang menjaga sekalian kejadian di bumi, mempastikan peraturan Allah berjalan dengan tepat dan sempurna. Kedua malaikat pada langit yang bertugas di dalam bidang pentadbiran Ilahi. Kepada kedua-dua kumpulan malaikat itu dihadapkan titah Allah mengistiharkan Adam sebagai khalifah di bumi. Malaikat bumi akur dengan titah Allah itu dan mereka akan mempastikan segala kejadian di bumi menerima Adam sebagai khalifah dan mengizinkannya (termasuk keturunannya) mengambil manfaat daripada sumber bumi. Malaikat di langit pun akur dengan titah Allah itu. Mereka akan mempastikan kedudukan dan kepentingan serta keperluan Adam tidak akan dicerobohi. Malaikat penjaga rezeki menjamin untuk menghantar rezeki kepada Adam (dan keturunannya). Malaikat penjaga wahyu menjamin akan menurunkan wahyu kepada Adam (dan keturunannya yang berkenaan). Malaikat pencabut nyawa menjamin akan mencabut nyawa Adam (dan keturunannya juga) menurut giliran yang telah ditetapkan buat mereka, tidak sekali-kali akan berlaku tidak adil. Malaikat penjaga neraka akan membakar mana-mana anak cucu Adam yang memasukinya, tidak ada kasihan belas. Begitu juga dengan malaikat-malaikat yang lain, akan menguruskan bidang masing-masing tanpa prejudis terhadap Adam. Apabila Allah menitahkan peristiharan Adam sebagai khalifah dan para malaikat akur dengan peristiharan tersebut, maka tanda mereka akur ialah mereka mesti sujud kepada Adam. ‘Dan (ingatlah) tatkala Kami (Allah) berfirman kepada malaikat-malaikat: Sujudlah kepada Adam. Lalu sujudlah mereka.’ Sujud malaikat kepada Adam boleh membawa dua pengertian. Pertama malaikat benar-benar sujud kepada jasad Adam seperti seorang manusia sujud kepada manusia yang lain. Keduanya malaikat sujud kepada titah Allah, peristiharan Allah dan pentadbiran Allah yang di metraikan pada kejadian Adam, iaitu malaikat sujud kepada Urusan Allah yang dikurniakan kepada Adam. Misalkan seorang raja membawa puteranya ke atas singgahsana dan mengistiharkan puteranya itu sebagai putera mahkota. Rakyat pun sujud. Sujud rakyat boleh jadi kepada putera mahkota dan boleh jadi kepada peristiharan raja namun, pada hakikatnya sujud itu kepada kerajaan.
Semua malaikat sujud: ‘Kecuali iblis; ia (iblis) enggan dan takbur (menyombongkan diri), maka jadilah ia (iblis) daripada golongan yang kafir.’ Sejak mula hinggalah kepada sebelum perintah sujud kepada Adam, semuanya bertaraf malaikat, belum ada yang bertaraf iblis walaupun sudah ada satu makhluk yang akan membawa wadah iblis. Perintah sujud menjadi furqan, pemisah yang hak dengan yang batil. Yang hak terus berada pada taraf malaikat sementara yang batil jatuh kepada taraf iblis. Sunnatu’llah sejak awal menunjukkan bahawa sujud itulah senyata-nyata pembeza yang beriman dengan yang kufur. Sujud juga merupakan sebenar-benar tanda pengabdian kepada Allah. Sesiapa yang enggan sujud kepada titah, hukum dan peraturan Allah, maka sebenarnya dia daripada iblis yang kufur akibat kesombongan. Perbezaan di antara golongan yang benar dalam pengabdian mereka kepada Allah dengan golongan iblis ialah SUJUD!
Bagaimana malaikat sujud? Sesuatu itu sujud menurut kejadiannya. Bumi sujud, bulan dan bintang juga sujud. Apa yang di bumi dan di langit sujud. Bahkan pokok-pokok kayu juga sujud. Sujud mereka tidak dapat disaksikan oleh manusia. Tetapi lantaran sujud itulah segala sesuatu itu berfungsi dengan sempurna. Sujud manusia mudah disaksikan. Manusia terdiri daripada dua anasir, anasir zahir dan anasir rohani. Anasir zahir, iaitu anasir nyata, sujudnya juga nyata, boleh dilihat secara terang-terangan. Sujud anasir zahir secara sempurna ialah membawa muka yang padanya ada dahi ke bumi disertai oleh anggota lain iaitu dua tapak tangan, dua lutut dan dua kaki. Tatkala anasir zahir meletakkan dahi ke bumi, anasir rohani pula sujud dengan sebenar-benar menjadi Muslim (berserah diri) kepada Allah, tidak ada sedikit pun padanya sifat iblis yang sombong dan kufur. Sujud anasir zahir ada waktu, tetapi sujud anasir rohani seharusnya berkekalan.
Manusia yang asal kejadiannya adalah tanah, meletakkan dahinya ke tanah tatkala sujud. Bumi, bulan dan matahari juga sujud pada ‘tanah’ masing-masing. Manusia tidak nampak tanah bagi bumi, tanah bagi bulan dan tanah bagi matahari. Tetapi mereka nampak tanah mereka dan sujud ke atasnya. Sebelum dijadikan bumi, bulan, matahari, bintang dan lain-lainnya, sudah pun ada kejadian lain yang lebih awal yang daripadanya dijadikan bumi, bulan, matahari, bintang dan lain-lainnya. Sekali pun sudah diciptakan berbagai-bagai kejadian namun, kejadian awalnya masih lagi di sana dan mereka sujud ke atas kejadian awal masing-masing. Sekali mereka sujud mereka tidak bangkit lagi, sebab itulah mereka tidak tergelincir dan tidak menyimpang. Langit juga mempunyai kejadian awalnya dan langit sujud ke atas kejadian awalnya itu. Malaikat juga mempunyai kejadian awal iaitu nur. Malaikat yang sudah diciptakan daripada nur walau mengambil bentuk apa sekali pun tetap sujud ke atas nur awalnya. Bagaimana rupa sujud itu tiada yang mengetahuinya, melainkan Allah jua yang mengetahui.
Sujud manusia tidak berkekalan. Sujud zahirnya pada waktu tertentu sahaja manakala sujud rohaninya tidak menetap. Lantaran itu manusia mudah tergelincir dan menyimpang. Apa lagi manusia yang tidak sujud zahir dan rohaninya. Manusia yang tidak sujud itulah yang mewarisi sifat iblis iaitu sombong, takbur. Mereka itulah yang kufur, sama ada menjadi kafir terang-terangan atau menjadi kafir secara sembunyi iaitu munafik atau menjadi orang Islam yang jahat dan terkeluar daripada kebenaran iaitu fasik.

2-35: Dan Kami (Allah) berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isteri engkau di dalam jannah (taman/syurga) ini, dan makanlah kamu berdua daripadanya (makanan di dalam jannah) sepuas-puasnya sebagaimana kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (kalau kamu menghampirinya) kamu akan tergolong daripada orang yang zalim.
Setelah nyata mereka yang sujud dan mereka yang enggan sujud, Adam dan isterinya di tempatkan di jannah (taman/syurga). ‘Dan Kami (Allah) berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isteri engkau di dalam jannah (taman/syurga) ini, dan makanlah kamu berdua daripadanya (makanan di dalam jannah) sepuas-puasnya sebagaimana kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (kalau kamu menghampirinya) kamu akan tergolong daripada orang yang zalim.’ Adam dan isterinya ditegah daripada mendekati satu pohon. Pohon itu akan memudaratkan mereka jika didekati apalagi jika memakan buahnya. Pohon apakah itu? Cukuplah kita menerimanya sebagai pohon terlarang. Tidak usah di teka-teka.

2-36: Digelincirkan kedua-duanya oleh syaitan daripada (larangan) itu, maka (Allah) mengeluarkan keduanya dari tempat mereka berada (jannah). Dan Kami (Allah) berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian daripada kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain; dan bagi kamu di bumi, adalah tempat menetap dan kesenangan, sehingga sampai waktu yang ditentukan.”
‘Digelincirkan kedua-duanya oleh syaitan daripada (larangan) itu.’ Iblis yang enggan sujud mempunyai potensi yang besar di dalam mengeluarkan tenaga jahat. Bekas yang menerima tenaga jahat iblis dinamakan syaitan. Syaitan boleh jadi berbangsa jin atau berbangsa manusia. Bahkan pada diri setiap manusia itu ada persediaan untuk menerima syaitan daripada luar atau untuk terus menjadi syaitan. Adam terpedaya oleh pujuk rayu dan kata-kata manis syaitan. Adam gagal berpegang teguh kepada peringatan bahawa makhluk yang enggan sujud itu akan mendatangkan kemudaratan kepadanya, tidak sekali-kali membiarkannya bersenang-senang. Ramai daripada keturunan Adam yang menganut al-din Islam juga gagal melihat betapa besarnya bahaya yang ada dengan mereka yang enggan sujud, baik jin atau manusia sendiri. Pujuk rayu dan kata-kata manis golongan yang enggan sujud itu sering mengheret umat Islam ke dalam kebinasaan. Bapa manusia, Adam, telah menerima padahnya: ‘Maka (Allah) mengeluarkan keduanya dari tempat mereka berada (jannah).’ Keadaan bersenang-lenang dan dapat memakan apa sahaja yang disukai, ditarik semula. ‘Dan Kami (Allah) berfirman: Turunlah kamu!’ Turun daripada jannah ke tempat yang lebih bawah iaitu bumi atau dunia dalam keadaan: ‘Sebahagian daripada kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain.’ Permusuhan di antara manusia dengan syaitan dan permusuhan sesama manusia akan berlaku di bumi, di dalam dunia. Sebelum Adam diturunkan ke bumi bagi menjalankan tugas sebagai khalifah, Adam terlebih dahulu diberitahu keadaan umat yang akan ditadbirkannya. Bumi, bahan-bahan bumi dan dunia mengeluarkan pengaruh dan tarikan yang mengakibatkan berlaku kekacauan, permusuhan dan berbunuh-bunuhan sesama keturunan Adam, seperti yang telah diketahui oleh para malaikat. Adam tidak disuruh tunduk kepada kekacauan dan keburukan yang lahir daripada anasir-anasir bumi itu. Allah melantik Adam sebagai khalifah, wakil Allah, iaitu orang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk memakmurkan bumi, mengharmonikan anasir-anasir bumi dengan manusia, menghubungkan silaturrahim sesama manusia, menekankan perbezaan dan menonjolkan persamaan dan mengwujudkan suasana sejahtera. Peringatan ringkas daripada Allah itu memberi pengajaran yang besar kepada Adam dalam memahami bidang kekhalifahannya. ‘Dan bagi kamu di bumi, adalah tempat menetap dan kesenangan, sehingga sampai waktu yang ditentukan.’ Ditetapkan bagi Adam dan keturunannya mendiami bumi, tidak boleh meminta tempat lain, apa lagi tempat di mana Adam diciptakan. Bumi bukan sekadar menjadi tempat tinggal malah lebih utama ialah di sinilah manusia diberi kesempatan mencari perbekalan, baik untuk kehidupan mereka di bumi mahupun untuk kehidupan mereka sesudah kehidupan bumi. Allah memberi bimbingan kepada Adam dalam menangani kekacauan di kalangan umatnya. Adam perlu memberi kesedaran kepada keturunannya bahawa hanya bumi ini sahaja yang diberikan kepada mereka sebagai tempat tinggal. Jika bumi ini rosak, hancur luluh, mereka tidak ada tempat lain untuk pergi. Jadi mereka perlu mencintai bumi ini sebagaimana mereka mencintai diri mereka sendiri. Mereka juga harus sedar bahawa kehidupan mereka di bumi tidak kekal. Perjalanan mereka masih jauh. Semasa di bumi inilah mereka perlu mengambil perbekalan untuk pengembaraan yang berikutnya. Manusia perlu insaf, asalnya mereka tidak ada. Kemudian Allah menciptakan manusia sekali pun pada mulanya malaikat meragui ciptaan itu. Allah Maha Berdiri Dengan Sendiri, tidak terpengaruh dengan ilmu dan pendapat malaikat. Lantaran itu penciptaan manusia tetap terlaksana. Setelah tinggal di jannah, Adam pergi pula kepada kehidupan di bumi. Adam sudah memasuki tiga suasana: Tidak ada, tinggal di jannah dan tinggal di bumi. Bukanlah perkara mustahil ada kehidupan lain setelah kehidupan bumi. Oleh itu percayalah kepada pesanan Allah dan ambillah bekal untuk perjalanan seterusnya. Jika umat manusia menginsafi semua ini akan sejahteralah kehidupan mereka di bumi.

2-37: Setelah itu, Adam menerima beberapa kalimah daripada Rab (Tuhan)nya, maka Dia (Allah) menerima taubatnya (Adam); sesungguhnya Dia (Allah) adalah al-Tawwab (Maha Penerima taubat), al-Rahim (Maha Mengasihani).
Setelah menerima watikah, sebelum menjalankan tugas, Adam mendapat rahmat yang paling besar daripada Allah: ‘Setelah itu, Adam menerima beberapa kalimah daripada Rab (Tuhan)nya, maka Dia (Allah) menerima taubatnya (Adam); sesungguhnya Dia (Allah) adalah al-Tawwab (Maha Penerima taubat), al-Rahim (Maha Mengasihani).’ Adam telah bersalah dan tidak tahu bagaimana mahu menebus kesalahan itu. Adakah dia akan turun ke bumi membawa bersama dosanya? Di bumi nanti, sebagai salah satu bidang kekhalifahannya ialah mengembangkan zuriat. Adakah dirinya yang berdosa itulah yang akan menurunkan zuriat dan intipati dosanya itu akan menyerap kepada zuriatnya? Tidak, sama sekali tidak! Allah telah mengurniakan beberapa kalimah kepada Adam. Kalimah itu memutuskan dosa yang lalu dengan kehidupan yang mendatang. Adam boleh turun ke bumi menjalankan tugasnya dengan tenang kerana Allah telah mengampuninya.
Adam yang berdosa sanggup rujuk (kembali) kepada Allah. Tangan Allah sentiasa bersedia menyambut kepulangan hamba-Nya. Berapa jauh sekali pun hamba itu terpelanting, kembalilah dan Allah akan menyambutnya. Sunnatu’llah! Allah tentukan pada diri-Nya bahawa Dia adalah Pemberi ampun. Dia sendiri yang mengajar kepada Adam cara bertaubat. Adam mematuhi-Nya dan melakukan sebagaimana yang Allah ajarkan. Allah berpegang kepada janji-Nya, demi kasih sayang-Nya kepada hamba-Nya, lalu Dia ampunkan Adam. Maha Suci Rab (Tuhan) kami, sesungguhnya janji Rab (Tuhan) kami pasti terlaksana!

2-38: Kami (Allah) berfirman: “Turunlah kamu sekalian dari (jannah) ini! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku (daripada Allah), maka sesiapa yang menuruti petunjuk-Ku (petunjuk Allah) itu, nescaya tidak ada ketakutan bagi mereka, dan tidak (pula) mereka berdukacita.”
Sampailah masanya buat Adam berangkat ke matlamat atau tujuan penciptaannya. Dia akan pergi ke tempat baharu lagi asing baginya. Dia akan menjalankan tugas yang besar. Terasa berat di dalam hati, tetapi Allah menenangkannya dan memberi jaminan. ‘Kami (Allah) berfirman: Turunlah kamu sekalian dari (jannah) ini! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku (daripada Allah), maka sesiapa yang menuruti petunjuk-Ku (petunjuk Allah) itu, nescaya tidak ada ketakutan bagi mereka, dan tidak (pula) mereka berdukacita.’ Allah tidak akan membiarkan Adam meraba-raba di dalam kegelapan, tidak tahu apa yang hendak dibuat. Dia (Adam) diciptakan untuk menjadi khalifah di bumi. Dia diperlengkapkan bagi menjalankan tugas tersebut. Allah telah mengajarkannya nama-nama semuanya. Walaupun begitu Allah menjaminkan akan menurunkan petunjuk dari masa ke masa. Petunjuk dari Allah mempunyai tenaga yang maha besar kerana sesiapa mentaati petunjuk Allah itu akan terlepas daripada ketakutan dan dukacita. Hidup di bumi penuh dengan ujian, pancaroba dan perkara-perkara yang mengancam kesejahteraan manusia. Malapetaka itu mendatangkan cengkaman dan ketakutan pada jiwa manusia. Ketidak-upayaan manusia mengatasi sesuatu malapetaka itu mendatangkan dukacita dalam jiwanya. Penawar bagi semua itu ialah mentaati petunjuk dari Allah. Ketaatan kepada petunjuk Allah menjadikan jiwa kuat, mampu bertahan di kala menerima himpitan dan dapat menghilangkan dukacita di kala hasrat dan ikhtiar tidak membuahkan hasil.

2-39: Dan orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Allah), mereka itu ahli (penghuni) neraka, mereka kekal di dalamnya.
‘Dan orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Allah), mereka itu ahli (penghuni) neraka, mereka kekal di dalamnya.’ Adam diberi kesedaran bahawa tidak semua keturunannya akan mentaati petunjuk Allah. Ramai daripada mereka akan kufur dengannya. Mereka akan menjadi rezeki neraka. Bahan neraka ternyata di dalam dunia iaitu ketakutan dan dukacita. Mereka akan lari dari masalah seperti tikus masuk ke dalam lubang. Mereka mengalami resah gelisah seperti cacing kepanasan. Dukacita menjadi teman mereka. Pandang ke kanan dukacita, pandang ke kiri juga dukacita. Mati mereka di dalam ketakutan dan dukacita. Bersedialah pula mereka menghadapi azab yang lebih besar iaitu neraka. Kekal mereka di dalamnya.
Kisah-kisah penciptaan Adam, soal-jawab malaikat, persiapan Adam dengan ilmu dan bakat yang mencukupi bagi menjalankan tugas, perintah sujud, kekufuran iblis, kehidupan Adam dan isteri di dalam jannah, kesalahan Adam mendengar tipu daya syaitan dan penurunan Adam ke bumi, semuanya itu memberi iktibar yang besar bagi umat manusia, keturunan Adam.
Sebelum Adam turun ke bumi di manakah berlakunya kisah-kisah yang lain itu? Adam diturunkan ke bumi atau dunia yang bermaksud tempat yang rendah. Tentu sekali penurunan itu dari tempat tinggi ke tempat rendah. Di tempat yang tinggi itu ada malaikat-malaikat, menunjukkan ianya alam malaikat-malaikat atau alam malakut. Penghuni alam malakut itu semuanya bertaraf malaikat hinggakan makhluk yang berpotensi menjadi kafir pun bertaraf malaikat pada ketika itu. Adam yang diciptakan dalam alam itu juga bertaraf malaikat tetapi membawa potensi insan. Adam yang berada dalam alam malakut hidup dengan bakat malaikat, tidak memerlukan udara, perjalanan darah dan juga fungsi jantung. Bakat malaikat yang ada dengan Adam itu rosak apabila Adam mendekati atau memakan buah dari pokok terlarang. Adam tidak ada pilihan kecuali meninggalkan alam malakut dan pergi ke tempat yang sesuai dengan perubahan bakat kehidupannya. Jika Adam masih juga terus tinggal di alam malakut mungkin Adam akan mengalami kematian atau hilang fungsi tubuh badannya. Penghijrahan Adam ke bumi memastikan kesinambungan kehidupannya. Di samping itu perlu juga dilihat kepada peristiwa malaikat-malaikat diperintahkan sujud. Semuanya pada ketika itu berkedudukan sebagai malaikat. Walau apa pun taraf dan kedudukan seseorang atau satu-satu individu itu namun, dalam dirinya tersembunyi potensi sebenar atau rahsia seni dirinya. Rahsia seni ini akan keluar juga akhirnya bila suisnya tersentuh. Perintah sujud menyentuh suis rahsia seni satu makhluk. Bila suisnya itu diaktifkan muncullah bakat-bakat sebenar rahsia seni tersebut. Jika dikumpulkan bakat-bakat itu dan dilihat sebagai satu sahaja maka ia dikenali sebagai iblis. Makhluk yang diberi kedudukan sebagai malaikat tetapi memiliki potensi atau rahsia seni iblis akhirnya menjadi iblis juga. Adam yang diberi ilmu dan ditempatkan di dalam jannah tidak dapat lari daripada potensi atau rahsia seni dirinya. Dalam rahsia seni itu ada kelemahan-kelemahan, mudah percaya kepada janji-janji dan kata-kata manis, mahu menjaga kepentingan diri, inginkan kehidupan abadi dan lain-lain. Bila mendengar pujukan, kata-kata manis dan janji-janji keabadian daripada syaitan, tersentuhlah suis rahsia seni Adam dan aktiflah sifat insan pada diri Adam. Baharulah Adam benar-benar menjadi manusia yang akan memegang jawatan khalifah di bumi. Setiap orang ada rahsia seni masing-masing. Rahsia seni itulah destininya. Bila dia sudah menemui rahsia seninya kenallah dia akan dirinya dan berjalanlah dia dengan bakat sebenar dirinya itu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar